Mahkamah Rayuan bebaskan Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, hari ini melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor daripada tuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan, lima tahun lalu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman, dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan Tengku Adnan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati, beliau bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin sependapat dengan Suraya manakala keputusan minoriti dibuat oleh Hakim Datuk Abu Bakar Jais.

Terdahulu, Suraya, yang menyampaikan keputusan majoriti, berkata Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal untuk menimbangkan keterangan oleh saksi pendakwaan antaranya Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong; Ketua Pegawai Operasi, Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) Datuk Mohd Hasbi Jaafar dan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani.

Katanya, Kin Kong menjelaskan bahawa RM2 juta adalah derma politik dan bukannya untuk Tengku Adnan, malah Mohd Hasbi memberitahu, beliau dimaklumkan bahawa wang itu adalah derma politik untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak.

“Mahkamah bersetuju dengan hujah pembelaan bahawa pihak pendakwaan terikat dengan keterangan saksinya sendiri.

“Keterangan oleh Muhammad Saad adalah penting dan mendedahkan bahawa cek RM2 juta itu adalah derma politik daripada Kin Kong untuk perbelanjaan dua PRK berkenaan,” katanya.

Katanya, mahkamah mendapati, tiada dalam alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi, bahawa beliau menimbangkan keterangan Kin Kong dan Mohd Hasbi bahawa cek RM2 juta itu adalah untuk perbelanjaan PRK.

“Hakim Mahkamah Tinggi juga tidak menimbangkan kegagalan pendakwaan untuk menyoal semula saksi utamanya (Kin Kong) berhubung keterangan beliau ketika disoal balas bahawa RM2 juta itu adalah sumbangan politik kepada UMNO.

“Malah tiada sebarang cadangan dibuat oleh pendakwaan bahawa Kin Kong adalah saksi yang tidak jujur serta tidak bercakap benar,” katanya.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta yang dikenakan terhadap Tengku Adnan oleh Mahkamah Tinggi.

Pada 21 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati Tengku Adnan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ahli Parlimen Putrajaya itu untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan.

Tengku Adnan, 71, didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Kin Kong yang juga Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik AKSB.

Wang itu didepositkan ke dalam akaun bank CIMB milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB) yang mana beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja rasminya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kes perbicaraan terhadap Tengku Adnan bermula pada 2 Julai 2019 dengan pihak pendakwaan memanggil 23 saksi untuk memberi keterangan.

Saksi pendakwaan yang dipanggil untuk memberi keterangan termasuk dua bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur iaitu Tan Sri Ahmad Phesal Talib dan Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz serta Kin Kong.

Pada 14 Oktober 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan Tengku Adnan membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie dalam kes tertuduh.

Tengku Adnan selaku saksi pembelaan pertama memberi keterangan bersumpah dari tempat saksi selama dua hari iaitu pada 17 Januari dan 5 Mac 2020.

Saksi pembelaan yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas Setiausaha Politik Tengku Adnan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah dan bekas pengarah jentera PRK Sungai Besar, Datuk Rizalman Mokhtar.

Pada 30 Jun 2020, pembelaan menutup kesnya dalam prosiding yang berlangsung selama empat hari.