Malaysia diramal capai 24,000 kes positif Covid-19 sehari

PUTRAJAYA: Malaysia diramal akan mencapai tahap kemuncak penularan Covid-19 pada pertengahan September dengan 24,000 kes positif sehari.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan unjuran, kadar kebolehjangkitan (RT) pada ketika itu adalah 1.2.

“Keberkesanan vaksin pula berada pada 75 peratus sekiranya kapasiti pemberian dos kedua adalah 100,000 sehari dan 80 peratus penduduk telah divaksinasi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kes harian positif Covid-19 dijangka menurun di bawah 1,000 kes setiap hari pada Oktober.

Katanya, berdasarkan unjuran yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes akan terus meningkat sehingga 17,000 sehari pada pertengahan Ogos.

“Jika kita boleh laksanakan 150,000 dos sehari untuk dos kedua dengan 80 peratus keberkesanan vaksinasi, pada Oktober kes harian positif Covid-19 akan turun di bawah 1,000,” katanya.

Peningkatan kes positif Covid-19 direkodkan selama tiga hari berturut-turut sejak Selasa dengan kes tertinggi 13,215 dilaporkan pada Khamis.

Daripada jumlah itu sebanyak 12,684 kes yang dikesan adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua manakala 531 pula adalah kategori tiga hingga lima.