Mahasiswa perlu manfaatkan peluang belajar di menara gading – Jeffrey Nor

PUTATAN : Pelajar perlu memanfaatkan peluang belajar di peringkat universiti dengan sebaik mungkin sekali gus menjadi seorang berilmu, beradab, cemerlang, berdaya saing, bertanggungjawab serta beretika.

Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata, mereka harus bersyukur memandangkan tidak semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berpeluang meneruskan pengajian ke peringkat unversiti.

Katanya, ini merupakan antara harapan ibu bapa yang ingin melihat anak-anak melanjutkan pelajaran sekali gus memperoleh pekerjaan atau menjadi usahawan selepas menamatkan pengajian kelak.

“Ketika berada di universiti bukan sahaja untuk memperluaskan ilmu pengetahuan tetapi mereka juga seharusnya menyertai pelbagai program akademik dan kemasyarakatan.

“Ini adalah merupakan satu langkah dianjurkan universiti mereka bagi membolehkan mereka boleh bergaul serta bersama-sama masyarakat setempat,” katanya.

Mengikut rekod seramai 30 pelajar dari daerah Putatan berjaya melanjutkan pengajian ke beberapa unversiti serta kolej tempatan di semenanjung Malaysia.

Sumbangan kewangan disalurkan oleh Tabung Pendidikan UMNO Malaysia bertujuan meringankan beban ibubapa serta pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Unversiti pada tahun ini.

Jeffery Nor berkata, beliau berharap agar mahasiswa memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk menikmati alam kehidupan kampus dengan sebaiknya.

“Ketika berada di menara gading juga mendidik kita mempelajari asas kehidupan seharian, bagaimana untuk berinteraksi, membina jaringan komunikasi.

“Ini sekali gus meningkatkan pembangunan diri yang akhirnya mempu diaplikasikan untuk berbakti kepada masyarakat dan negara” jelas Jeffrey