Mahasiswa perlu lengkapkan diri untuk pasaran kerjaya Revolusi Industri 4.0 – Juhar

KOTA KINABALU: Mahasiswa dan pelajar di negara ini disaran supaya melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi memenuhi keperluan pasaran kerjaya dalam Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), kata Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata pasaran kerja industri IR 4.0 memerlukan individu berkemahiran tinggi dan kreatif, justeru pelajar dan mahasiswa perlu sedia untuk berubah, sesuai dengan situasi serta keperluan semasa.

“Dalam masa yang sama, kita perlu menyediakan diri generasi muda terutamanya rakyat secara keseluruhannya agar tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital,” katanya ketika berucap dalam rakaman video sempena Majlis Konvokesyen UMS ke-22 di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Justeru katanya pembelajaran secara dalam talian adalah suatu anjakan paradigma penting dalam pendidikan masa kini yang menjadikan kita lebih dekat dengan kerangka IR 4.0.

Beliau berkata perkara ini jelas kelihatan semasa pandemik COVID-19 melanda, apabila pembelajaran telah berubah daripada peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi kepada pembelajaran secara dalam talian dan teknologi digital.

“Saya percaya UMS telah menstrukturkan semula sebahagian pengajian ada sekarang supaya bersesuaian dengan anjakan paradigma ke arah mendigitalkan teknologi dalam pendidikan, saya percaya mahasiswa di sini akan menjadi modal insan yang mampu menafaatkan teknologi digital sepenuhnya,” katanya.

– BERNAMA