SANDAKAN : PAS Sabah menyambut baik pindaan Perlembagaan persekutuan apabila Rang Undang-Undang Perlembagaan (pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga pada sidang parlimen baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan media, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah Sahar Abdul Majid berkata, kejayaan pindaan ini adalah sejarah buat rakyat Sabah dan Sarawak yang sejak sekian lama berjuang bagi menuntut hak-hak dalam perlembagaan dan MA63.
Tambah beliau, kesungguhan semua pihak khususnya yang dimainkan oleh kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor bersama sokongan rakyat Sabah termasuk pimpinan dan rakyat negeri Sarawak yang tidak pernah jemu telah membuahkan hasil hari ini.
“Ini adalah untuk masa depan kita semua, syabas buat rakyat Sabah dan Sarawak,’ ujarnya ketika diminta mengulas tentang kejayaan pindaan perlembagaan ini di Parlimen.
Katanya lagi, peranan yang dimainkan oleh kerajaan persekutuan pimpinan dalam usaha mengembalikan hak-hak perlembagaan harus dipuji sekaligus menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan benar-benar memahami aspirasi rakyat di Malaysia Timur ini.
Beliau turut berkeyakinan melalui pindaan ini, Sabah dan Sarawak akan mengorak langkah kehadapan yang lebih baik terutama dalam pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan, sosial dan pentadbiran yang lebih komprihensif untuk masa depan rakyat Sabah yang lebih gemilang.
“Ini bermakna Sabah dan Sarawak bukan lagi sebaris dengan negeri-negeri Semenajung Malaysia sebagaimana sebelum cadangan pindaan ini,” tambahnya
Ini kerana katanya, kedua-dua negeri ini akan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negeri-negeri Semenanjung Malaysia atau apa yang disebut sebagai ‘equal partnes’ selaras dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
Pada masa yang sama, Sahar juga berkeyakinan tinggi usaha kerajaan persekutuan menubuhkan Majlis Khas MA 63 (MKMA63) yang dianggotai oleh Sabah dan Sarawak sebagai platform penting dalam mencapai hasrat dan perlaksanaan tuntutan hak-hak dalam MA63 berdasarkan semangat perlembagaan persekutuan.
Rang undang-undang yang dibentang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaaafar telah diluluskan pada 14 Disember lalu dengan memperolehi sokongan 200 Ahli Parlimen pada bacaan kali kedua dan 199 ketika belah bahagi pada bacaan kali ketiga, sekaligus menjadikan undi dua pertiga Ahli Dewan Rakyat.
Berdasarkan pindaan itu, Perkara 1 Perlembagaan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-negeri Persekutuan terdiri daripada:
(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan
(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.