TAWAU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah membelanjakan sebanyak RM30.7 Juta bagi keseluruhan pantai timur dan RM12.2 Juta bagi Ladang Apas Balung/Merotai sepanjang tahun 2020 hingga 2023.
Pengurus Besarnya, Syaheddrul R Joddari berkata, perbelanjaan itu yang memberi manfaat kepada seramai 255 peneroka bagi kawasan seluas 1,244 hektar melibatkan pakej rangsangan ekonomi, naik taraf jalan ladang sedia ada, program pembekalan baja, penternakan kambing, pembinaan dan baik pulih rumah pekerja.
Beliau berkata demikian pada Program Hari Muhibbah Bersama Peneroka/Peserta LKTNS 2023 Apas Balung di Dewan Serbaguna blok 31, Apas dekat sini.
Turut hadir, Pengerusi LKTNS Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin, Ahli Parlimen Tawau, Tuan Lo Su Fui, Ahli Dewan Undangan Negeri Balung, Datuk Hamild Awang, Ketua Pegawai Eksekutif Agro Bank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Pegawai Daerah Nabawan Peter Jiton.
Syaheddrul berkata bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebanyak 14 buah rumah bina baru dan lapan buah rumah baik pulih dilaksanakan di Ladang Apas Balung dan Ladang Merotai pada tahun ini, berbanding hanya dua bina baru dan 11 baik pulih pada tahun 2021-2022.
Menurutnya, ekoran prestasi cemerlang LKTNS dalam melaksanakan PPRT bagi para peneroka dan pesertanya, lebih banyak peruntukkan telah salurkan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi tujuan yang sama tahun ini, dan bakal melibatkan golongan miskin tegar dalam senarai e-kasih yang bukan peneroka dan peserta LKTNS.
Katanya SLDB juga memperkenalkan SLDB E-Pay, sistem pembayaran menggunakan perisian digital bagi memudahkan para peneroka, peserta dan pekerja LKTNS untuk berurusan tanpa perlu pergi ke bank-bank dan kedai-kedai yang terletak di bandar.
“Perisian ini juga membolehkan pemindahan wang secara elektronik dan pembelian barang-barang keperluan harian menggunakan talian internet,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Ghani dalam ucapannya berkata pendapatan peneroka Apas Balung dalam tahun 2022 bagi tabungan ialah sebanyak RM2.8 juta dan sara hidup sebanyak RM6.8 juta. Sementara Ladang Merotai pula sebanyak RM1.54 bagi tabungan dan RM3 juta untuk sara hidup.
Menurutnya, purata pendapatan bulanan bagi tahun 2022 untuk peneroka Ladang Apas Balung seramai 199 orang adalah sebanyak RM4,035 sebulan seorang.
“Manakala peneroka Ladang Merotai pula adalah sebanyak RM6,884 sebulan seorang bagi seramai 56 orang peneroka”, katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, LKTNS telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Agro Bank dan penyerahan mock kad pelan perlindungan takaful khas (insurans) kepada peneroka dan peserta LKTNS.