KOTA KINABALU : Seorang lelaki maut ketika menjalankan aktiviti menangkap ketam dipercayai terkena renjatan elektrik di sekitar kawasan Lorong Kuala Neutron, Kampung Likas, di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa berumur 43 tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.45 malam tadi bergegas ke lokasi kejadian bersama 10 anggota diketuai Komander Operasi, PBK II Mohammad Faizal Alias.
“Ketika tiba di lokasi kejadian
mendapati seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan aktiviti menangkap ketam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Agustavia Joe berkata, pihak bomba bertindak mengalihkan mangsa ke kawasan selamat selepas bekalan elektrik diputuskan Sabah Electricity.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di kawasan kejadian operasi kemudiannya ditamatkan jam 12.05 tengah malam tadi,” Agustavia Joe.
