Lima individu ditahan cederakan wanita di Tawau

TAWAU : Seorang wanita mengalami kecederaan selepas mendakwa dipukul lima individu di kawasan tempat letak kereta di sebuah hotel, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 36 tahun mengalami kecederaan serta pendarahan di bahagian muka dan kepala dalam kejadian 11 pagi itu.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa berstatus ibu tunggal dituduh sebagai perampas suami orang walaupun dia mendakwa kekasihnya masih bujang.

“Polis menerima laporan daripada mangsa jam 4.41 petang, pada Rabu mendakwa dia diserang dan dicederakan oleh lima wanita pada 30 Disember lalu.

“Mangsa mendakwa keempat-empat tayar keretanya dipancitkan dipercayai perbuatan khianat semua suspek terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jasmin berkata, polis kemudiannya semua suspek berusia 16 hingga 62 tahun terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Kes ini juga menjadi peringatan masyarakat bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka yang melakukan keganasan bagi memastikan keselamatan orang awam terpelihara,” jelas Jasmin.