Lelaki maut nahas tiga kenderaan di Semporna   

SEMPORNA : Seorang lelaki maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan dalam kejadian di Jalan Kampung Kubang Baru, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata, kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa dilaporkan tersepit di dalam kenderaan dan mengalami kecederaan parah.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.20 petang.

“Sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat mangsa.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu dua pacuan empat roda dan sebuah lagi kereta sedan,” katanya ketika dihubungi.

Madzlan berkata, seorang mangsa, lelaki tersepit di dalam kereta sedan berkenaan dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Pemandu kedua-dua pacuan empat roda dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada bahaya lain di lokasi, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.10 petang,” jelas Madzlan.