LAHAD DATU : Seorang lelaki maut tersepit di tempat duduk pemandu selepas kereta dinaikinya terbabit dalam kemalangan sebuah lori berhampiran Puspakom Jalan Tengah Nipah Lahad Datu di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Penolong Penguasa
Sumsoa Rashid berkata, mangsa berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, mangsa tersepit dalam kenderaan jenis Ford namun berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 5.42 pagi tadi kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian pada jarak tiga kilometer.
“Bomba bersama kekuatan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu diketuai oleh Komander Operasi, Mohamud Punya tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 5.48 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi Sabah News Today di sini hari ini.
Sumsoa berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian operasi kemudiannya ditamatkan pada jam 6.40 pagi tadi.