TAWAU : Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tawau perlu memanfaatkan segala penggunaan teknologi baharu dalam kaedah bekerja di bidang pertanian di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penggunaan teknologi diaplikasikan di beberapa negara maju sekali gus terbukti menghasilkan produk berkualiti, cepat serta meningkatkan kuantiti yang banyak.
Katanya, ahli PPK perlu mencari kaedah untuk memanfaatkan segala peluang dari dana serta kemudahan yang ditawarkan kerajaan kepada mereka.
“Insentif ini adalah usaha kerajaan bagi memudahkan semua pemain industri agar dapat meningkatkan hasil yang mereka usahakan.
“Ia selaras dengan hasrat kerajaan supaya tidak terlalu bergantung dengan bekalan makanan dari luar dan meningkatkan keterjaminan makanan di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-26 PPK Tawau, di sini hari ini.
Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, semua ahli PPK Tawau perlu merebut peluang sekali gus memanfaatkan pelbagai insentif agensi kerajaan.
“Kita yakin dibawah kepimpinan pengerusi PPK Tawau, Datuk Hamild Awang serta bimbingan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang mampu meningkatkan pendapatan ahli yang ada hari ini,” jelas Nizam.