Industri halal Sabah terus diperkasa – Hajiji

KOTA KINABALU : Industri halal di Sabah khususnya membabitkan pengusaha IKS akan terus diperkasa dan terpelihara menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hub.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha ini juga seiring dengan komitmen kerajaan komited memperkasakan merancakkan industri halal secara lebih menyeluruh di negeri ini.

Katanya, pensijilan halal dapat membantu usahawan IKS mengetengahkan produk mereka bukan sahaja setakat di dalam negeri tetapi juga di luar negara.

“Pensijilan halal merupakan elemen penting dalam menyakinkan masyarakat pengguna bahawa produk tersebut selamat dimakan dan digunakan.

“Konsep halal berkait rapat dengan produk yang berkualiti tinggi dari segi aspek kebersihan dan pematuhan terhadap syariah agama,” katanya.

Hajiji berkata, beliau berharap usaha MUIS membuat pendekatan drastik bagi membantu IKS dalam memperolehi pensijilan Halal Malaysia melalui Sijil Halal Industri Kotej (SHIK) bagi pengusaha yang belum memiliki tempat khusus bagi memproses produk atau kilang tetap, akan diperluaskan ke seluruh negeri.

“Cara ini sudah tentu membantu IKS mempromosikan produk mereka dengan lebih meluas. Saya mengharapkan agar pengusaha-pengusaha IKS mengambil peluang ini bagi memperolehi sijil Halal Malaysia melalui SHIK yang sekali gus boleh mengembangkan perniagaan mereka”, katanya.

Teks ucapannya dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif.

Menurut Hajiji, SAHEX 2024 merupakan program yang sangat baik dalam memperkenalkan produk-produk tempatan yang telah dipersijilkan halal oleh MUIS melalui MUIS Halal Hub di negeri ini.

“Halal bukan sahaja dikaitkan dengan perindustrian makanan dan minuman semata-mata, skopnya amat luas merangkumi produk dan perkhidmatan melibatkan penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, kosmetik dan pelancongan.

“Industri halal di Malaysia menyediakan peluang yang amat besar, justeru pengusaha IKS di Sabah perlu merebut peluang untuk terbabit dalam industri halal di negara ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dan swasta di negeri ini amat penting dalam pengurusan halal bagi memperkasakan aspek pensijilan halal khususnya kepada usahawan IKS.

“Usaha ini penting agar mereka juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di Sabah.

“Ini juga bagi memastikan lebih ramai lagi usahawan IKS di Sabah akan mempunyai persijilan halal bagi memudahkan mereka mempromosikan produk hingga ke luar negara,” kata Hajiji.