Lelaki mati selepas cuba selamatkan pelancong

KUDAT: Seorang pekerja pusat pelancongan ditemui lemas apabila cuba menyelamatkan seorang pelancong hampir lemas di Pantai Hisbiscus Villa, Jalan Kampung Marang Parang hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Estilly Lieo Uainis, 19, dikatakan lemas selepas dihanyutkan arus ketika membantu seorang pelancong terbabit.

Anggota bomba cuba menyelamatkan mangsa. Gambar Bomba Sabah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) daerah, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.38 pagi dan sepasukan 11 orang pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Apabila tiba di lokasi, pasukan bomba dimaklumkan mengenai mangsa yang dihanyutkan arus deras ketika cuba menyelamatkan pelancong yang hampir lemas.

Walau bagaimanapun, pelancong itu berjaya diselamatkan oleh rakan sekerja mangsa manakala, mangsa pula dikatakan hilang dan hanya ditemukan oleh rakan mangsa selepas sejam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.

Beliau berkata, sebaik sahaja ditemukan, mangsa terus diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh pasukan bomba tetapi mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.35 petang.