BEAUFORT: Seorang lelaki maut dipercayai lemas selepas tergelincir ketika menolak perahu dalam kejadian di Kampung Mantao dekat sini kira-kira jam 10 pagi tadi.
Difahamkan mangsa yang dikenali sebagai Fairol Jisirun, 21, tidak pandai berenang dan tergelincir ke kawasan air yang dalam.
Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusof Zaki Mat Yaacob berkata, sebelum kejadian mangsa bersama bapa, abang dan kakak iparnya menaiki perahu menuju premis sarang burung milik abangnya yang dilanda banjir di kampung berkenaan.
Menurutnya, selesai kerja mengemas di premis terbabit, mangsa bersama yang lain bergerak pulang menggunakan perahu berkenaan.
“Bapa dan kakak ipar mangsa berada di dalam perahu manakala, mangsa dan abangnya menolak perahu itu.
“Ketika sedang menolak perahu, tiba-tiba mangsa tergelincir dan termasuk ke tempat air yang dalam sebelum tenggelam.
“Abang mangsa cuba membantunya tetapi gagal berikutan kedua-dua mangsa dan abangnya tidak pandai berenang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.30 pagi dan tiba ke lokasi kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Yusof Zaki berkata, mayat mangsa ditemukan tidak jauh dari lokasinya tergelincir kira-kira jam 1 petang.
Katanya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan selanjutnya dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
SabahNewsToday