BONGAWAN: Seorang lelaki ditemui maut di bahagian bilik air rumahnya dipercayai lemas akibat terhidu asap di kediamannya di Kampung Nyaris-Nyaris, di sini, dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata kejadian dilaporkan jam 3 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Abdul Rahman Abu, 38, ditemui terperangkap di bilik berkenaan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi kemudian terus bergegas ke tempat kejadian bersama sepasukan 14 anggota serta pegawai bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dan BBP Beaufort.
“Ketika tiba di tempatan kejadian api masih marak dan operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Pihak Bomba menggunakan aliran sepanjang 61 meter dengan dua pancutan menerusi tangki jentera bomba. Api berjaya dikawal jam 3.48 pagi.
Dalam kejadian itu, turut terbakar sebuah kereta Proton Saga dengan kerosakan hampir 30 peratus, manakala rumah mangsa musnah lebih 90 peratus.