KKM benarkan suami temani isteri di bilik bersalin

KUALA LUMPUR: Suami yang lengkap menerima dos vaksin COVID-19 akan dibenar menemani isteri yang bakal melahirkan anak dalam bilik bersalin, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata selain itu suami juga perlu negatif ujian COVID-19 sebelum dibenarkan menemani isteri mereka.

“Saya telah minta Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) untuk membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalankan ujian COVID-19 dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam bilik bersalin,” katanya dalam entri terbaru di laman Twitter rasminya, hari ini.

Entri Khairy itu kemudian dibalas oleh Dr Noor Hisham yang menyatakan: “Ya, akan laksanakan apa yang diperlukan.”

Sebelum ini hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri dalam bilik bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas akibat penularan wabak COVID-19.

— BERNAMA