LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan maut selepas dipercayai kenderaan pacuan empat rodanya terbabas di Jalan Silam, Taman Maju, di sini awal pagi tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dikenali sebagai Tan Khin Hoe, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.53 pagi tadi kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dengan keanggotaan seramai lapan orang bersama sebuah jentera dan satu unit EMRS dikerahkan membantu di lokasi terbabit.
“Sejurus tiba mendapati kemalangan yang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas sendiri di bahu jalan mendapati seorang mangsa berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan pasukan bomba sekali gus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Operasi ditamatkan pada j 5.52 pagi selepas mendapati tiada lagi kemerbahayaan yang wujud di lokasi kejadian,” katanya.