Lelaki ditahan bersama muatan buah sawit di Ladang Tawau

TAWAU : Polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit di sebuah Ladang Felda Kalabakan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Hussin berkata, sepasukan polis menjalankan Rondaan Cegah Jenayah di sekitar kawasan terbabit kemudiannya memeriksa seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan memandu kenderaan lori jenis Hicom bersama muatan buah kelapa sawit.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit berdasarkan beberapa aduan diterima oleh pihak polis baru-baru ini.

“Suspek kemudiannya ditahan oleh pihak polis bersama barang rampasan di bawa balik ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kita akan menyiasat suspek ini mengikut dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jasmin berkata, pihaknya menggesa agar orang ramai mempunyai sebarang maklumat kejadian jenayah boleh menyalurkan terus kepada pihak Polis atau pun melalui Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat naik melalui telefon bimbit mereka.

“Ini bertujuan untuk membolehkan pihak polis dapat membenteras kegiatan jenayah berlaku di sekitar kawasan daerah ini.

“Maklumat orang ramai sangat diperlukan bagi memastikan polis dapat menjalankan operasi dalam tempoh terdekat,” jelas Jasmin.