KOTA BELUD : Seorang lelaki ditahan selepas disyaki cuba memecah masuk sebuah kedai runcit menggunakan senjata lastik pada Rabu lalu.
Ketua Polis Kota Belud, Supt Shahrudin Mat Husain, berkata suspek berusia 34 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis mengesan video tular 59 saat memaparkan dua lelaki memecah masuk kedai runcit dan hasil siasatan mendapati kejadian berlaku 4 pagi di premis tanpa nama di Kota Belud.
“Dua lelaki itu mengambil sejumlah wang dalam laci premis dan berlaku pergelutan antara kedua-dua lelaki terbabit bersama mangsa.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius terhadap mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrudin meminta orang awam yang melihat kejadian itu tampil ke IPD Kota Belud atau hubungi pegawai penyiasat Izhafizan Haron di talian 014-6318003 bagi membantu siasatan.
“Orang awam juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh mengganggu siasatan,” jelas Shahrudin.
