TAWAU : Polis memberkas seorang lelaki warga asing bersama sejumlah 2063.93 gram dadah jenis syabu bernilai RM158,400.00 dalam serbuan di sebuah rumah di sekitar Bandar Tawau, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, suspek berumur 45 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada pukul 2.20 petang.
“Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, telah menyerbu sebuah rumah di sebuah tapak pembinaan di sekitar kawasan Jalan Bunga Raya, Tawau dan memberkas seorang suspek lelaki warga asing.
“Hasil siasatan awal, suspek telah menyerahkan sebuah kotak plastik pembesar suara berwarna biru, pemeriksaan di dalam kotak tersebut pihak Polis menjumpai dua paket plastik cerah berisi bahan ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 2063.93 gram berjumlah RM158,400.00,” katanya.
Katanya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah, suspek direman bermula 1 Jun 2024 untuk siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jasmin menambah, beliau turut memberi amaran kepada masyarakat di daerah ini supaya tidak bersekongkol bersama pesalah, sebaliknya bekerjasama dengan pihak Polis bagi mengekang penyalahgunaan dadah dan bersatu hati menyalurkan maklumat bagi melumpuhkan sebarang aktiviti penyeludupan serta pengedaran dadah di negeri ini.