TAWAU : Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menikam rakannya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian perut di kawasan pasar ikan Tawau, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Husin berkata, pihaknya merampas sebilah pisau panjang disyaki digunakan dalam kejadian pergaduhan tersebut.
Katanya, suspek berumur 37 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau.
“Siasatan awal mendapati suspek bersama mangsa merupakan buruh kasar yang bekerja di kawasan Pasar Ikan Tawau.
“Sebelum kejadian kedua-dua suspek serta mangsa dipercayai minum minuman keras sekali
gus berada dibawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Jasmin berkata, motif pergaduhan dipercayai bergaduh akibat mangsa kerap kali mengejeknya mengakibatkan suspek bertindak berang sehingga menikam mangsa.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tawau untuk menerima rawatan lanjut manakala suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Polis meminta kerjasama orang agar tidak menularkan video atau gambar kejadian,” jelas Jasmin.
Menurutnya, ini bagi membolehkan proses siasatan dilakukan dengan lancar serta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dari kes ini.