Lebih RM550,000 dana berjaya dikumpul untuk ubahsuai Auditorium Tadika Chi Hwa

LABUAN : Lebih RM550,000 dana berjaya dikumpul bagi kerja-kerja pengubahsuaian Auditorium Tadika Chi Hwa.

Dana tersebut ladalah hasil kutipan sumbangan daripada pihak swasta, orang perseorangan serta penganjuran program jualan Bazar yang diadakan di Dewan Serbaguna Datuk Wong Kii Yii, Tadika Chi Hwa, anjuran Dewan Perniagaan Tionghua Labuan (LCCC).

Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan Datuk Wong Kii Yii berkata, pembinaan auditorium bukan sahaja untuk meningkatkan fasiliti yang sedia ada, tetapi juga untuk memberi keselesaan kepada para pelajar dan tenaga pengajar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman yang hadir untuk melancarkan Program Bazar serta merasmikan Majlis Makan Malam kutipan dana itu turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM50,000.

Suhaili turut menzahirkan ucapan tahniah kepada jawatankuasa penganjur atas inisiatif dalam mencari dana untuk meningkatkan kemudahan yang terdapat di bangunan tersebut.

“Kejayaan penganjurannya merupakan usaha dan sokongan daripada komuniti, ibu bapa dan pemimpin masyarakat.

“Saya juga akan terus memberikan bantuan apa jua aktiviti yang melibatkan pendidikan kerana bagi saya pendidikan amat penting kerana ia bukan sahaja dapat mengubah nasib seseorang tetapi juga menjadikan masyarakat yang berilmu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis itu.