Lebih 50 peratus kes positif Sabah daripada kontak rapat

KOTA KINABALU:  Sebanyak 500 kes atau 54.82 peratus daripada keseluruhan 913 kes harian dicatat di Sabah hari ini, dikesan melalui saringan kontak rapat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata, situasi itu amat membimbangkan kerana ia memberi gambaran masih terdapat kebarangkalian tinggi berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan walaupun pelbagai seruan dan saranan dilakukan kerajaan.

“Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah adalah amat tinggi pada hari ini iaitu 913 kes dengan peningkatan sebanyak 172 kes berbanding 741 kes yang dicatatkan semalam (27 Julai), malah Kota Kinabalu saja mencatatkan 234 kes baharu termasuk 27 kes adalah daripada Penjara Kepayan.

“Seluruh daerah di Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat, sekali gus menunjukkan trend yang terus melonjak dan membimbangkan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap rasmi Covid-19 Sabah berkata, tiga kluster baharu direkodkan hari ini yang semuanya dikesan di Keningau iaitu Kluster Bayangan dan Kluster Bariawa Laut kedua-duanya kluster komuniti serta Kluster Menawo Baitah membabitkan kluster tempat kerja.

“Kluster Bayangan membabitkan penularan di Mukim Bingkor dan Luagan disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah dengan 21 kes kumulatif, Kluster Bariawa Laut juga berkaitan perkumpulan keluarga mencatat 13 kes kumulatif.

“Kluster Menawo Baitah pula disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan membabitkan 16 kes kumulatif,” katanya.

– BERNAMA