Pegawai penyelidik disaran rancang tingkat ekonomi golongan sasar

KOTA KINABALU: Pegawai Penyelidik Lembaga Koko Malaysia (LKM) digesa agar dapat merancang ‘Penyelidikan’ bagi meningkatkan ekonomi golongan sasar mereka.

Ketua Pengarahnya, Dr Ramle Kasin, berkata, ini penting untuk memastikan semua golongan sasar termasuk pengusaha industri koko sekali gus dapat meningkatkan imej LKM sebagai agensi terulung dalam penyelidikan koko di negara ini.

Dr Ramle Kasin

“Ilmu yang dipelajari selama tiga hari moga dapat diaplikasikan dilapangan oleh semua pegawai termasuk cara mempelajari kaedah penyediaan rangka penyelidikan yang berimpak serta berpandukan keperluan pasaran dan kumpulan sasar.

Ini seterusnya diaplikasikan dalam bengkel iaitu Lab Pemantapan Pelan Strategik LKM 2021 – 2025 yang sedang berlangsung ketika ini iaitu pada 12 Julai hingga 29 Oktober 2021,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan penutup sempena MCB Annual Saintis Workshop (MASW) 2021, secara dalam talian di sini hari ini.

*Dr Ramle* berkata, beberapa program berimpak tinggi yang dirancang akan melibatkan pihak agensi kerajaan serta swasta dengan perkongsian sumber dan kepakaran sedia ada.

Menyentuh berkaitan program MASW yang diadakan 26-28 Julai bertema ‘Tranforming R&D Culture Towards Market-Driven Research beliau berkata, dianjurkan secara dalam talian.

Ia disertai seramai 73 orang pegawai Kumpulan A, 70 Kumpulan B serta disertai wakil dari Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada (IKL), KPPK.

“Program MASW 2021 adalah untuk meningkatkan kemahiran modal insan bagi pegawai penyelidik LKM di seluruh negara,” katanya.