Larangan membina Rumah Mersa SMJ di atas air perlu dikaji semula – Masiung

SANDAKAN : Larangan membina bantuan rumah mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di atas air wajar dikaji semula bagi memastikan akses pembinaan dapat diterjemahkan kepada golongan sasar mengikut kesesuaian tempat.

Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, Urusetia SMJ perlu terlebih dahulu meneliti kesesuaian tempat atas air yang tidak mempunyi risiko bencana alam.

Katanya, resolusi kedua-dua bahagian itu adalah sama, mereka meminta kerajaan negeri mengkaji semula polisi agar rumah SMJ dapat dibina di tapak atas air.

“Banyak projek rumah Mesra SMJ tertangguh pembinaan di kedua-dua kawasan itu hanya kerana kedudukan tapak yang dicadangkan di atas air payau.

“Saya melihat tapak atas air payau di kawasan itu selamat daripada bencana ombak dan air pasang besar kerana kedudukan rumah tradisi penduduk di situ terlindung dengan dataran dan pulau berdekatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Gagasan Rakyat Bahagian Sekong di Dewan Masyarakat Sandakan,  di sini kelmarin.

Masiung merupakan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, sudah menjadi tradisi turun-temurun kebanyakan penduduk di Sekong dan Karamunting membina rumah di atas air payau.

“Tidak pernah berlaku sebarang bencana alam melibatkan tsunami atau ombak pasang besar.

“Kita mahu Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB) Sabah mengkaji semula polisi tersebut agar bantuan SMJ dibolehkan dibina di atas air mengikut keperluan golongan sasar,” jelas Masiung.

Menurutnya, beliau memberi contoh, bangunan kerajaan atau rumah atas air sudah menjadi tradisi di Sabah termasuk di daerah Tuaran, Menumbok, Tawau dan perkampungan Pulau Gaya di Kota Kinabalu dilengkapi bangunan sekolah, masjid dan bangunan milik kerajaan.

“Ramai penerima bantuan rumah SMJ tidak memiliki tanah di dataran. Satu-satunya lot yang mereka ada cuma tapak rumah atas air, jelasnya.

“Banyak bantuan rumah SMJ di seluruh negeri kini tertangguh pembinaanya kerana polisi KPLB tidak membenarkan ia di bina atas air,” kata Masiung.