KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menyemak semula harga tiket penerbangan domestik bagi laluan ke Sabah serta lokasi lain supaya agar kembali berada pada paras purata menjelang kebenaran ‘Rentas Negeri’ bermula 1 November ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Darau, Azhar Matussin berkata, setakat ini harga tiket penerbangan beberapa lokasi domestik kembali melonjak naik mendadak sekali gus dilihat sangat membebankan terutama rakyat golongan berpendapatan rendah di negeri ini.
Katanya, langkah ini sangat memberi kesan ekonomi terutama kepada golongan rakyat akibat berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh negara.
“Ketika ini beberapa sektor perniagaan baharu memulakan operasi mereka selepas sekian lama akur dengan keputusan kerajaan dengan mengadakan ‘Total Lockdown’.
“Dalam masa sama sektor pengajian tinggi dilihat kembali memulakan operasi kemasukkan pelajar, sudah tentu perkhidmatan sektor penerbangan ini menjadi pilihan utama dalam kalangan ibu bapa di negeri ini,” katanya.
Azhar yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Warisan Sabah berkata, pada persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong mendakwa harga tiket penerbangan akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.
“Kita gesa agar kerajaan melalui Suruhajaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak,” katanya.
“Langkah ini dilihat tidak selari dengan Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersifat inklusif sekali gus dekat dengan rakyat serta menunjukkan satu nilai prihatin dan kasih sayang semua ahli keluarga besar negara,” katanya.