LABUAN: Lebih 150 penunggang motosikal berkuasa besar dari Persatuan LA Riders dan Persatuan Motosikal Berkuasa Besar daripada Brunei Darussalam (PEMODA) menjayakan program Merdeka Ride sempena Bulan Kebangsaan di sini, semalam.
Mereka berkonvoi menjelajah ke beberapa batang jalan pesisir pantai di pulau ini sambil mengibarkan Jalur Gemilang turut diiringi oleh Polis Trafik bagi menjaga keselamatan para peserta konvoi dan juga orang awam.
Konvoi yang disertai oleh beberapa kelab pecinta dua roda diketuai oleh Presiden LA Riders Datuk Mohd Rafi Ali Hassan.
Turut serta Yang DiPertua PEMODA Pengiran Redzuan Ahmad dan Presiden HD Borneo Datuk Harris An nuar Tan.
Terdahulu Mohd Rafi ketika ditemui berkata, konvoi tersebut bukan saja bertujuan untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan tetapi juga menyatupadukan semangat perpaduan dikalangan peserta.
“Selain itu ia juga mampu memupuk semangat patriotik cintakan negara khususnya dikalangan bikes dari Labuan seiring dengan tema sambutan Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan,” katanya.
Untuk rekod, kehadiran rombangan PEMODA yang melibatkan 50 penunggang motosikal berkuasa besar bertujuan untuk membuat jemputan khas kepada LA Riders sempena Program Borneo International Big Bike Festival (BIBBF) di mana Brunei merupakan tuan rumah penganjurannya tahun ini.
Selain menyertai Merdeka Ride, rombongan PEMODA itu diraikan dalam satu majlis makan malam di Pusat Rekreasi Desa Tunas Hijau yang dihoskan oleh LA Riders.
Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Bashir Alias.