KOTA KINABALU: Sabah akan menjadikan usaha mengurangkan kesan perubahan iklim sebagai agenda utama kerajaan negeri menerusi beberapa langkah dan inisiatif diperkenalkan bagi merealisasikan matlamat itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.
Beliau berkata komitmen itu antara lain dapat dilihat menerusi sasaran kerajaan Sabah untuk menanam kira-kira 36 juta pokok dalam tempoh lima tahun sehingga 2025 melalui inisiatif Program Penghijauan Malaysia seluruh negara bertemakan “Penghijauan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita”.
Setakat ini, hampir 4.5 juta pokok telah ditanam di seluruh negeri menerusi program tersebut, katanya.
Sabah juga menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim di bawah bidang kuasa Jabatan Perhutanan Sabah bagi membincangkan dasar dan tindakan perubahan iklim, memacu pertumbuhan ekonomi hijau, memangkin teknologi hijau serta pertumbuhan rendah karbon.
“Ia sejajar dengan dasar Sabah mengenai alam sekitar serta aspirasi negara terutama dalam proses mitigasi dan adaptasi iklim. Perubahan iklim adalah antara aspek utama di dalam dasar dan kami komited mengambil semua langkah perlu bagi memastikan kualiti udara di negeri ini tidak akan merosot akibat aktiviti pembangunan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Perubahan Iklim Sabah 2021, hari ini.
Persidangan dua hari secara hibrid itu dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah; Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah; Program Penyelidikan Hutan Hutan Asia Tenggara (SEARRP) dan PETRONAS sebagai penaja utama.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong; Ketua Penasihat Kerajaan dan Pengawal Selia PETRONAS Anuar Ismail; Pengarah SEARRP Datuk Dr Glen Reynolds dan Penasihat Teknikal kepada Ketua Menteri Berkaitan Perubahan Iklim Datuk Darrel Webber.
Hajiji berkata persidangan itu tepat pada masanya bagi melihat kepada kesan perubahan iklim seperti peningkatan suhu, kemarau teruk, kebakaran dan jerebu, kekerapan hujan lebat dan ribut hingga menyebabkan banjir di pedalaman dan pantai, selain ancaman terhadap keselamatan makanan yang turut dirasai secara global.
“Sabah tidak terkecuali,” katanya, sambil menambah persidangan itu bukan sahaja akan meningkatkan kesedaran mengenai kesan perubahan iklim kepada masyarakat tetapi juga berkongsi pengetahuan dan kemudahan rangkaian.
Persidangan itu juga diharap akan dapat meningkatkan kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menggalakkan penyertaan orang ramai terutama golongan belia bagi kedua-dua agenda iaitu perubahan iklim dan aspek pemuliharaan, katanya.
— BERNAMA