LABUAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas sejumlah coklat bernilai RM23,704 di dua buah premis serbaneka dan bebas Cukai di sini, semalam.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguatkuasa selepas mengesan pasar raya terbabit menjual produk makanan (coklat) yang memaparkan perkataan ‘No Palm Oil’ pada pembungkus produk berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit Dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.
“Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan media.
Jelas Junaidah lagi, tindakan tegas diambil terhadap peruncit, pemborong dan pengimport yang menjual, mengedar atau mengimport produk memboikot produk kelapa sawit.