KPDN komited perkasa bidang penguatkuasaan banteras aktiviti penyelewengan, pengurusan barang kawalan bersubsidi

SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited memperkasa bidang penguatkuasaan dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan pengurusan barang kawalan bersubsidi.

Ia diterjemah menerusi lawatan kerja sulung Pengarah Seksyen Kawalan Bekalan, Bahagian Penguatkuasa KPDN, Shahrudin Hamzah ke Sandakan pada 14 Mei hingga hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata menerusi lawatan itu, Shahrudin telah menghadiri mesyuarat bersama agensi-agensi penguatkuasaan dan jabatan di daerah ini.

Katanya, ini termasuk Pasukan Polis Marin, Pasukan Gerakan Am, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah, Jabatan Laut Sabah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dan Persatuan Nelayan Kawasan Sandakan pada Rabu lepas.

“Mesyuarat ini membuka titik persamaan bagi membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam penguatkuasaan membanteras penyelewengan barang kawalan bersubsidi khususnya di daerah ini.

“Rombongan kemudian telah mengadakan pemeriksaan dan lawatan ke pemborong dan peruncit di bawah PPKS yang terletak di Kinabatangan untuk melihat pelaksanaan pengedaran serta penjualan barang kawalan melibatkan minyak masak bersubsidi di daerah itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azdy berkata, PPKS ini adalah inisiatif dan langkah proaktif KPDN Cawangan Sandakan sejak Mac 2022 bertujuan untuk memastikan pengguna di luar bandar menikmati manfaat subsidi oleh kerajaan.

Ini bagi memastikan bekalan barang kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung di kawasan luar bandar tidak terputus di samping memudahkan proses penghantaran barang kawalan ke kawasan yang mengalami kekurangan bekalan,” katanya.

“Konsep PPKS kini juga telah diperluaskan yang mana bekalan barang kawalan telah dihantar ke Peruncit Terpilih Daerah di Sandakan dan beberapa daerah lain seperti di Kudat, Keningau dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga 14 Mei lepas, sebanyak 643.756 metrik tan atau 37,868 kotak minyak masak telah diedarkan melalui PPKS,” jelas Azdy.

Selepas itu rombongan Azdy dan Shahrudin bersama rombongan kemudian telah diberikan taklimat ringkas berkenaan pelaksanaan PPKS yang dijalankan oleh KPDN Sandakan.

Beliau berharap PPKS yang diterajui oleh KPDN Sandakan ini mampu menjamin kestabilan bekalan barang-barang kawalan bersubsidi agar rakyat dapat menikmati subsidi yang telah diberikan oleh Kerajaan di samping membantu mereka meringankan beban kos sara hidup.

Selain itu, beliau juga telah mengadakan lawatan ke premis pembungkus minyak dan Pemborong Gula bagi PPKS yang terletak di daerah Sandakan untuk melihat operasi di premis berkenaan.

Beliau juga berharap agar PPKS yang dilaksanakan di daerah ini adalah salah satu usaha kerajaan dalam meningkatkan lagi keberkesanan pemberian perkhidmatan kepada rakyat Sabah khususnya sesuai dengan aspirasi Malaysia Madani.