SANDAKAN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan telah menjalankan tinjauan dan pemeriksaan pra pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2023 di sebuah pasaraya di sini, pagi tadi.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John turun padang bersama pegawainya bagi memastikan para peniaga mengikut peraturan yang telah dikuatkuasakan.
Katanya KPDN mula menguatkuasakan SHMMP Krismas 2023 selama lima hari bermula esok hingga 27 Disember 2023 yang mana sebanyak 13 barangan terpilih akan dikawal harga maksimumnya di peringkat ladang, borong serta runcit.
“Ia termasuk kepak ayam, daging kambing biri-biri tulang berimport, tomato, lada benggala hijau, kubis bulat import, lobak merah, ubi kentang, bawang merah besar import, bawang kuning besar, cili merah, babi hidup serta perut, daging dan lemak babi.
“Kerajaan telah mewajibkan semua peniaga yang menjual barangan terbabit supaya tidak menjual melebihi harga maksimum ditetapkan serta meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan itu bagi tujuan membezakannya dengan barangan lain serta mempamerkan tanda harga dengan jelas ke atas semua barangan yang dijual.
“Pihak KPDN Cawangan Sandakan terdiri daripada 17 pegawai penguat kuasa dan lapan Pegawai Pemantau Harga akan sentiasa memantau situasi bekalan barangan agar ia mencukupi, selain memastikan peniaga-peniaga mematuhi penguatkuasaan SHMMP ini,” katanya.
Beliau berkata, KPDN Cawangan Sandakan telah memeriksa sebanyak 619 premis pemborong dan peruncit di daerah ini bagi empat musim perayaan iaitu SHMMP Tahun Baru Cina (15 Januari hingga 29 Januari), SHMMP Hari Raya Puasa (15 April hingga 30 April), SHMMP Pesta Kaamatan (27 Mei hingga 2 Jun) dan SHMMP Deepavali (9 November hingga 15 November).
Azdy berkata bagi keempat-empat tempoh perayaan tersebut, pejabat KPDN Sandakan tidak ada menerima sebarang aduan daripada orang ramai.
Dalam pada itu, susulan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat, Azdy bersama pasukannya turut menjalankan pemeriksaaan di beberapa farmasi tumpuan pengguna sekitar Sandakan bagi meninjau kedudukan bekalan dan harga pelitup muka, cecair sanitasi dan Kit Ujian Kendiri Covid-19.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bekalan barangan berkenaan adalah mencukupi serta mudah diperolehi dipasaran pada harga yang berpatutan.