Pengurus pusat hiburan ditahan, 28 orang diperiksa dalam Ops Noda, Ops Hiburan di Penampang

PENAMPANG : Polis menahan pengurus sebuah pusat hiburan di sini selepas didapati beroperasi tanpa lesen dan menyita peralatan muzik premis itu, dalam Ops Noda dan Ops Hiburan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Supt Sammy Newton berkata seramai 28 orang telah diperiksa dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

“Individu yang ditahan dan barang rampasan telah dibawa ke IPD Penampang untuk siasatan lanjut pihak polis mengikut Seksyen 3, Akta Hiburan 1958,” katanya.

Katanya, pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi serta menasihatkan pengusaha premis-premis hiburan di daerah ini supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

Sammy menasihatkan pengusaha-pengusaha premis pusat hiburan supaya menjalankan perniagaan mengikut prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.