Jabatan Kesihatan Negeri Sabah perlu buktikan status perlombongan emas di Bukit Mantri, Balung sebelum beri kenyataan

TAWAU : Penduduk kampung mendesak agar Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) membuktikan status kelulusan aktiviti perlombongan emas di Bukit Mantri Balung  untuk membolehkan ia beroperasi berdasarkan daripada hasil laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

Bekas pekerja kilang haram terbabit, Muhammad Alfian berkata, Pengarah JKNS Datuk Dr. Asits Sanna perlu menghantar salinan kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (JPASS) kepada penduduk kampung Balung sekali gus mengesahkan status terkini operasi perlombongan emas di Bukit Mantri.

Katanya, kenyataan media dikeluarkan JKNS semalam tidak tepat sama sekali kerana tiada pembuktian dikeluarkan oleh pihak terbabit berdasarkan status terkini operasi kilang haram berkenaan.

“Kita minta JKNS jangan kelirukan penduduk kampung Balung…Kami lagi tahu status sebenar kilang ini menyebabkan saya sendiri meletak jawatan, tiada insuran perllindungan pekerja apabila mengetahui kilang ini beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Kilang haram ini sudah beroperasi lebih dua bulan manakala hampir keseluruhan 300 pekerjanya merupakan anak tempatan Kampung Balung Tawau.

“Sebagai makluman saya sahkan adalah merupakan bekas pekerja kilang perlombongan emas haram ini bertindak meletak jawatan apabila mengetahui kilang ini beroperasi tanpa kelulusan sekali gus mengancam nyawa pekerjanya,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Alfian berkata, beliau mengesahkan bahawa kilang ini beroperasi tanpa mendapat kelulusan pelan Erosion and Sediment Control Plan (ESCP) daripada  Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Paling penting di sini, kawasan perlombongan ini memang sangat membahaya kerana kilang tersebut mengeluarkan sisa toksik jenis Sodium Cyanide dikenalpasti berbahaya khususnya kepada pekerja serta penduduk kampung di sekitarnya.

“Hari ini saya buat laporan polis bahawa kegiatan kilang perlombongan emas ini beroperasi secara haram sekali gus menancam nyawa penduduk kampung,” jelas Alfian.

Alfian berkata, penduduk kampung bukannya menolak sebarang pembangunan di kawasan Kampung Balung Tawau tetapi operasi kilang ini perlulah mendapat kelulusan bagi menjalankan operasinya.

“Terdapat beberapa kilang juga menjalankan operasi perlombongan emas di kawasan ini, namun mereka mempunyai kelulusan daripada pihak berwajib.

“Sepatutnya pihak berkuasa termasuk JKNS turun melihat sendiri masalah kesihatan yang dihadapi penduduk serta pekerja kilang haram ini.

“Mengapa kilang ini masih beroperasi itu yang menjadi tanda tanya, mengapa juga pihak berkuasa tidak mengambil tindakan menutup secara serta merta kilang ini,” Jelas Alfian.

Menurutnya lagi, sekiranya kilang ini sudah memperoleh surat kelulusan mereka boleh meneruskan semula operasi sekali gus tidak menimbulkan masalah besar di masa depan.