Kontraktor tempatan yang berkeupayaan wajar diberi keutamaan untuk kontrak kerajaan – Ahmad Maslan

LABUAN: Kontraktor tempatan yang mempunyai keupayaan serta kewangan dan mampu mengendalikan kerja-kerja dengan baik wajar diberi keutamaan dan peluang untuk mendapatkan kontrak kendalian kerajaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Mazlan berkata, ia penting kerana kontraktor tempatan lebih mahir dan memahami selok belok mengenai pembekalan bahan pembinaan serta harga.

Katanya, sebagai contoh ada projek projek kerajaan yang ditawarkan di Labuan gagal disiapkan mengikut jadual ada yang terpaksa ditamatkan kerana kontraktor tidak dapat melaksanakan kerja disebabkan mengalami kerugian kerana mereka tidak memahami harga barangan binaan di Labuan lebih tinggi hampir 30 peratus berbanding dengan harga di Semenanjung.

“Apabila ini berlaku kontraktor terpaksa mendapatkan bahan binaan yang kosnya lebih mahal dan ini sekali gus meningkatkan kos akibatnya, projek yang ditawarkan tidak mampu disiapkan dan akhirnya terbengkalai.

“Perlu dipertimbangkan kepada mana-mana kontraktor tempatan yang mempunyai keupayaan dari segi operasi dan kewangan yang stabil di samping rekod prestasi baik untuk diberikan peluang..kita bukan sahaja menyokong kelestarian mereka, malah turut menyumbang kepada ekonomi tempatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril di Hospital Labuan, semalam.

Terdahulu, Ahmad Maslan ketika berucap pada majlis itu berkata, projek menaik taraf ruang sedia ada kepada Farmasi Sterill di Hospital Labuan yang menelan kos RM6.59 juta telah dapat disiapkan lebih awal mengikut jadual dan mempunyai rekod kerja yang baik sepanjang projek itu dilaksanakan.

Beliau yakin dengan adanya Farmasi Sterill (bilik bersih) penjagaan farmaseutikal yang optimum dapat disediakan bagi memenuhi keperluan pesakit.