Komuniti pulau jayakan Pogram Dakwah Kembara Tautan Kasih Pulau Upak Sandakan

SANDAKAN : Lebih 200 komuniti dari lima buah pulau telah menjayakan Program Dakwah Kembara Tautan Kasih Pulau Upak di kampung itu, baru-baru ini.

Program itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan Amalan Bakti dan Tarbiyah Bumiputera Sabah (ABATA), Pertubuhan Rumpun Bugis Nusantara Malaysia (PRBM), Pertubuhan Kelab Belia Sihat Sabah dan gabungan Komuniti Pasar Sandakan.

Komuniti terlibat adalah dari Kampung Pulau Shanghai, Kampung Pulau Terusan, Kampung Pulau Api-Api, Kampung Pulau Tronglit dan Kampung Pulau Upak.

Pengarah Program, Ustaz Mohd Farhan Osmara berkata program dimulakan dengan perkongsian Kursus Jenazah untuk membolehkan komuniti memahami dan mempelajari kepentingan ilmu fardhu kifayah bagi menyempurnakan tuntutan agama.

Katanya, kursus itu disampaikan oleh Ustaz Jokoh Mohd Sha dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Sandakan bersama penceramah wanita.

“Program diteruskan dengan menziarahi golongan asnaf di Kampung Pulau Upak yang terdiri dari golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan orang sakit. Manakala, sebelah petang diisi dengan acara sukaneka bersama komuniti.

“Sebelah malam pula diserikan dengan majlis Kampung Pulau Upak Berselawat di Surau Al Ehsan. Antara pengisian majlis termasuk alunan qasidah, selawat, bacaan doa buat saudara di bumi Gaza dan perkongsian mengenai amalan selawat serta kepentingan menghidupkan majlis selawat,” katanya.

Berdasarkan respon komuniti pulau, Mohd Farhan berkata mereka berharap program seumpama dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Katanya, komuniti kampung juga berhasrat untuk menghidupkan amalan selawat di kampung.

Beliau berharap usaha itu sekaligus dapat membawa hati umat Islam kembali pada Allah dan Nabi Muhammad SAW.