TUARAN: Parti dan rakan komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu mempertimbangkan gambaran yang lebih besar dengan meletakkan hanya calon yang boleh menang pada pilihan raya negeri akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Hajiji yang merupakan pengerusi GRS berkata sekarang bukan masanya untuk melobi kerusi.
“Lagipun, kita semua akan menggunakan satu simbol iaitu simbol GRS. Jadi ia bukan semua tentang kerusi tetapi yang kita mahukan ialah calon yang boleh dimenangi.
“Saya harap semua pemimpin kita akan menggunakan kebijaksanaan mereka dalam meneruskan perjuangan untuk rakyat dan pembangunan negeri,” katanya pada majlis berbuka puasa bahagian Sulaman Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di Lok Batik, di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) di Sulaman agar meneruskan perjuangan dan kerjasama di peringkat akar umbi.
“Ini sangat penting memandangkan cabaran yang kita hadapi,” katanya sambil mengulangi bahawa penggal Dewan Undangan Negeri sekarang akan tamat pada Oktober tahun depan.
Hajiji yang merupakan Presiden PGRS berkata adalah penting untuk pemimpin akar umbi turun padang dan mencari rakyat untuk mengetahui masalah mereka dan membawanya kepada perhatian pucuk pimpinan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman itu berkata pada masa ini terdapat lebih 200 cawangan di kawasannya menunjukkan sokongan rakyat terhadap PGRS kini mendapat daya tarikan.
“Semua ini hanya boleh dicapai jika kita bersatu. Elakkan isu remeh dan peribadi dan sebaliknya lihat kepada gambaran yang lebih besar iaitu kita memerlukan kerajaan yang stabil,” katanya.
Menurutnya, landskap politik masa kini semakin mencabar dan ada kalanya tidak masuk akal.
“Mereka (pembangkang) malah menyalahkan Hajiji (saya) dalam media sosial atas kemarau semasa yang melanda Sabah,” katanya.
Namun begitu, Hajiji berkata semua pemimpin dan ahli parti perlu berpegang teguh kepada prinsip dan kebijaksanaan.
Beliau menggesa ahli parti untuk menjalankan tanggungjawab mereka dan mempertahankan parti daripada fitnah pembangkang.
Hajiji bersama lebih 1,000 pengundi Sulaman berbuka puasa di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.
Sebelum majlis berbuka puasa, Hajiji yang ditemani anaknya Mohd Danish mengunjungi Bazar Ramadan di CKS Kampung Selupoh di mana mereka membeli juadah berbuka puasa.
Selepas itu, Hajiji mempengerusikan mesyuarat PGRS Bahagian Sulaman di bilik mesyuarat Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama.