LABUAN : Seramai 750 pelajar dari sekolah rendah dan menengah di sini menerima bantuan persekolahan menerusi Program Sahabat 50WP : Back To School tajaan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) peringkat Labuan.
Program yang berlangsung di Hotel Tiara Labuan, semalam, disempurnakan penyampaiannya oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail, Pengerusi Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Bashir Alias dan Timbalan Pengarah (Sektor Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Labuan Yahya Ahmad Puteh.
Pada program itu, pelajar yang terlibat menerima sumbangan wang tunai RM100 membabitkan pelajar kurang berkemampuan yang diselaraskan oleh Jabatan Pendidikan Labuan.
Terdahulu Simsudin ketika berucap pada program itu berkata, JWP telahpun memperuntukan sebanyak RM50,000, manakala YWP dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat (PPZ) telah memperuntukan sebanyak RM25,000 bagi menjayakan progam tersebut.
Simsudin berharap sumbangan tersebut dapat diagihkan secepat mungkin kepada semua pelajar serta berharap program tersebut dapat diperluaskan dan diperbanyakan bagi memberi peluang dan manfaat kepada semua pelajar terutamanya keluarga yang berpendapatan rendah.
“Saya juga turut mengalu-alukan penglibatan sektor korporat, Badan Bukan Kerajaan yang berkemampuan dapat turut serta sebagai salah satu program Tanggung jawab Sosial korporat (CRS) bagi membantu meningkatkan kesejahteraan dan pendidikan para pelajar,” kata Simsudin.