KM wajar amalkan sikap terbuka terima teguran, kritikan demi rakyat: Suhaimi

SANDAKAN: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sewajarnya sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam menerima teguran dan kritikan daripada mana-mana pihak sebagai semak dan imbang yang boleh memberi manfaat bagi penambahbaikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat Sabah.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata pemimpin yang baik dan kekal dihormati adalah mereka yang sentiasa menerima teguran dan kritikan dari mana-mana pihak untuk mengutamakan kepentingan rakyat dalam apa juga situasi.

“Jangan asyik dibuai dengan mimpi-mimpi indah dalam menerajui jawatan sebagai Ketua Menteri, sebaliknya turun, lihat dan rasa sendiri masalah yang dihadapi rakyat seperti tiada bekalan air bersih, bekalan elektrik dicatu sana sini dan jalan raya tidak diselenggerakan dengan baik.

“Salah satu contoh, di tujuh buah kampung sekitar Rancangan Sungai Manila mengalami gangguan bekalan air sepanjang tempoh setahun dan Kampung Sebait tiada bekalan air bersih lebih setahun. Rakyat di kawasan itu amat sengsara dan menderita akibat tidak menerima air bersih sedangkan sebelum itu bekalan air diterima seperti biasa.

Suhaimi berkata walaupun masalah ini telah dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi masalah itu masih tidak juga dapat selesai oleh kerajaan GRS.

“Teguran dan kritikan yang dibuat adalah berdasarkan masalah kehidupan yang realiti dihadapi rakyat. Saya ingin merujuk kepada bidasan Ketua Menteri terhadap teguran Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyifatkan Bung sebagai ketinggalan zaman dan hanya berhayal ketika mengkritik kerajaan negeri.

“Datuk Seri Hajiji jangan cuba melarikan masalah realiti dihadapi rakyat yang dibangkitkan oleh Datuk Seri Bung Moktar. Sewajarnya, Ketua Menteri menerima teguran dan kritikan sekaligus mengarahkan supaya masalah itu diselesaikan bukannya membuat kenyataan penafian,” tegasnya.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran turut menegur Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali supaya tidak menyerang Ahli Parlimen Kinabatangan yang merupakan pemimpin menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri ke-10.

“Lebih baik Datuk Armizan fokus kepada mencari jalan menyelesaikan isu kenaikkaan harga barang untuk mengurangkan beban ditanggung rakyat hari ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Armizan agar jangan berpura-pura buta dengan kenyataannya menyebut rata-rata pemimpin adalah orang lama dalam arena politik Sabah sedangkan dalam GRS dan PGRS itu sendiri adalah pemimpin lama yang pernah bersama UMNO dan BN