Kita tahu ada tangan jahat mahu kuburkan UMNO Sabah – Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengakui memang terdapat ‘tangan-tangan jahat’ untuk menguburkan parti itu di negeri berkenaan.

Bercakap kepada media ketika ditemui di lobi Menara Dato Onn di ibu kota petang tadi, beliau mendakwa antara ‘umpan’ yang digunakan adalah ‘membeli’ wakil rakyat daripada UMNO dengan menawarkan habuan.

Bagaimanapun, beliau optimis apa yang dilakukan pihak terbabit tidak dapat melemahkan termasuk menguburkan UMNO di Sabah kerana parti itu utuh ditubuhkan atas prinsip perjuangan dan bukannya dendam.

“Usaha itu (menguburkan UMNO) pun ada, tetapi saya nak katakan UMNO ini bukan hanya sebuah parti, sebaliknya ia sebuah perjuangan.

“Kita lihat UMNO ditubuhkan bukan kerana dendam, bukan ingin membentuk kerajaan, bukan di jalan raya tetapi UMNO dibentuk oleh pemimpin terdahulu melalui satu mesyuarat bagi membantu membangunkan dan memerdekakan negara.

“Parti lain pula dibentuk atas berbagai-bagai faktor yang tidak dapat kita ilhamkan. Ada yang dibentuk atas lompatan yang begitu banyak, dua tiga kali melompat membentuk parti. Jadi ini berlaku ketika musim berjaya di mana (berlaku) pembelian semua pemimpin di Sabah.

“Tetapi (usaha itu) akhirnya tidak berkekalan lama sebab saya yakin parti yang dibentuk atas dasar tamak haloba ingin berkuasa semata-mata tanpa memikirkan kepentingan rakyat, tidak bertahan lama,” katanya dalam laporan BH hari ini.

Mengulas Akta Anti Lompat Parti bagi membendung gejala lompat parti di Sabah, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci pada bulan ini, namun tidak menyatakan pertemuan dengan pihak mana.

Bagaimanapun, dipercayai pertemuan itu mungkin dibuat antara Bung Moktar dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, kali terakhir beliau mengadakan libat urus mengenai akta itu sebelum meninggalkan GRS sebulan lalu.

“Insya-Allah pada Mac ini akan dibawa (perbincangan mengenai Akta Anti Lompat Parti). Dengan adanya Akta Anti Lompat Parti ini saya lihat pilihan raya akan datang tidak akan ada lompatan seperti lompatan yang berlaku pada hari ini.

“Sebab saya sendiri dari Sabah, saya malu dengan tingkah laku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Sabah yang tidak sedarkan diri.

“Bagi mereka, yang penting dapat kedudukan, jawatan dan habuan diberikan mana-mana parti kepada mereka. Ini satu perbuatan tidak berintegriti dan tidak bermaruah,” katanya.