Kewujudan ESSCOM di Pantai Timur Sabah tingkat keyakinan masyarakat – Nizam

TAWAU : Semua pihak perlu meyakini keupayaan serta kewibawaan pasukan keselamatan khususnya Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) sekali gus disokong komuniti Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, beliau yakin melalui kekerapan mengadakan operasi keselamatan dikoordinasikan ESSCOM bersama-sama pasukan keselamatan lain menyumbang peningkatan rasa selamat sekali gus mewujudkan kepercayaan dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Katanya, beliau mengucapkan syabas kepada ESSCOM serta pasukan keselamatan di ESSZONE berikutan mengekalkan rekod sifar dalam insiden penculikan sejak 15 Januari 2020.

“Jaminan keselamatan sedia ada ini memberi impak sangat besar kepada peningkatan tahap ekonomi masyarakat ESSZONE melalui sektor perladangan, perdagangan dan pelancongan.

“Saban hari statistik penambahan pelancong di ESSZONE menunjukkan peningkatan yang sangat ketara dan ini membuktikan kehadiran ESSCOM mewujudkan persekitaran hidup lebih selamat,” katanya di sini hari ini.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, beliau menyeru penduduk Kampung Inderasabah agar meneroka potensi produk pelancongan maritim yang baharu selain bergantung dengan hasil laut,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd Ali mengingatkan semua pihak agar tidak sesekali menggadai kedaulatan negara dengan menjadi tali barut kepada kumpulan-kumpulan radikal mahupun terlibat dengan aktiviti jenayah yang memudaratkan.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia amnya dan Sabah khasnya, perlu menumpahkan taat setia kepada negara sebagai mana termaktub dalam Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

“Rakyat di negeri ini perlu menerapkan sikap kepedulian yang tinggi terhadap situasi keselamatan dan kesejahteraan di kawasan penempatan masing-masing,” katanya.