Ketua menteri rasmi Program Vaksinasi COVID-19 Sabah 4 Mac ini

Hajiji Noor (Gambar fail)

KOTA KINABALU (Bernama): Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dijadual merasmikan Program Vaksinasi COVID-19 Peringkat Negeri Sabah pada 4 Mac ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 berkata penghantaran pertama vaksin COVID-19 dijangka tiba di Sabah Khamis ini (25 Feb), bagaimanapun butiran seperti individu pertama penerima vaksin serta bila suntikan pertama vaksin itu dibuat di negeri ini masih dalam perbincangan.

“Setakat ini, 109 buah Pusat Pemberian Vaksin telah dikenal pasti. Jumlah Pusat Pemberian Vaksin ini akan diteliti keperluannya dari semasa ke semasa oleh Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) peringkat daerah masing-masing,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini malam ini.

Hari ini Hajiji dilaporkan sebagai berkata vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech dijadualkan tiba di Sabah pada Khamis ini dan beliau sendiri akan menyambut ketibaan bekalan vaksin itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini.

Semalam Malaysia menerima 312,390 dos kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

Masidi berkata perancangan awal Fasa 1 program pemberian vaksin itu hanya merangkumi petugas kesihatan barisan hadapan daripada sektor kerajaan dan swasta, dan juga petugas perkhidmatan penting (essential) dan pertahanan seperti polis, tentera, bomba dan Jabatan Imigresen.

SabahNewsToday

Leave a Reply