Ketua jabatan, pegawai perlu guna budi bicara mudahkan projek pembangunan

Hajiji Noor (Gambar fail)

KOTA MARUDU (Bernama): Ketua jabatan mahupun pegawai disaran menggunakan budi bicara serta kebijaksanaan masing-masing dalam melaksanakan projek pembangunan yang telah diluluskan dan diberikan peruntukan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata ia bagi memastikan tiada projek pembangunan yang lambat disiapkan sekali gus hanya akan merugikan rakyat di negeri itu.

“Jika ada masalah cari penyelesaian, contohnya dalam taklimat tadi ada masalah berkaitan (pembinaan) jalan raya kerana tidak diberikan kebenaran oleh jabatan tertentu.

“Sepatutnya sebagai ketua (jabatan), kita boleh menggunakan budi bicara atau kebijaksanaan bagi menangani masalah seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Kota Marudu yang disampaikan Pegawai Daerah Kota Marudu William Ahlan, di sini hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah ketika ini bukan penghalang untuk meneruskan projek pembangunan yang terlibat.

Terdahulu pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Bantuan Tunai sekali bayar RM300 kepada 20 penternak dan 14 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta lima unit mesin pengisar rumput untuk memproses makanan ternakan.

Dalam pada itu Hajiji berkata kerajaan negeri telah membuat pembayaran sebanyak RM55.82 juta kepada 186,079 penerima Bantuan Tunai sekali beri RM300 sehingga semalam. (21 Feb)

Beliau berkata bayaran itu merupakan daripada inisiatif Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 2.0 dan jumlah itu merupakan 57.46 peratus daripada pembayaran bantuan itu selepas diumumkan pada 16 Jan lepas.

SabahNewsToday

Leave a Reply