Ketua Kampung sebulat suara tolak cadangan Labuan dikembalikan ke Sabah

LABUAN: Usaha membantah cadangan untuk Labuan di kembalikan ke Sabah terus berkumandang di pulau ini apabila 27 Ketua Kampung pula sebulat suara menolak sebarang cadangan untuk mengembalikan Labuan kepada Sabah.

Mereka mendakwa tidak timbul soal Labuan terus ketinggalan berbanding dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya, namun tidak menolak sekiranya Labuan dikembalikan semula ke Sabah ia bukan sahaja status Labuan yang bertaraf negeri atau Wilayah akan ‘downgrade’ menjadi sebuah daerah, tetapi juga segala keistimewaan dinikmati ketika ini akan ditarik balik atau dimansuhkan.

Jurucakap Ketua Kampung, Kamal Ariffin Khalidin berkata, rakyat Labuan menikmati pelbagai pembangunan walaupun mungkin bergerak perlahan ketika ini akibat tekanan ekonomi, namun sejak Labuan menjadi Wilayah Persekutuan telah banyak menerima keistimewaan termasuk wujudnya lebih 80 jabatan dan agensi kerajaan yang banyak memainkan peranan dalam menyediakan perkhidmatan untuk membantu rakyat seperti soal pendidikan, kebajikan dan pembangunan ekonomi.

“Labuan dibawah pentadbiran Wilayah Persekutuan turut mendapat keistimewaan apabila Perbadanan di Wujudkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan berbanding Majlis Daerah yang skopnya lebih kecil sekiranya Labuan di bawah pentabiran Sabah.

“Labuan yang mendapat pengikitrafan sebagai Wilayah Persekutuan sejak tahun 1984 terus menerima limpahan pelbagai inisiatif pembangunan yang lebih menumpukan kepada kesejahteraan rakyat Labuan dan ini sekaligus membuktikan Labuan tidak dipinggirkan dalam arus pembangunan,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di sini, semalam.

Beliau berkata, tumpuan Kerajaan Persekutuan terhadap ekonomi Labuan terbukti melalui pelantikan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk menyelia hal ehwal ekonomi Labuan.

Sementara itu, seorang lagi Ketua Kampung, Ismail Samad menjelaskan secara keseluruhannya rakyat Labuan sudah selesa dengan pentadbiran di bawah Wilayah Persekutuan dan tidak nampak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Persekutuan gagal dalam menyediakan pelbagai inisiatif untuk kepeerluan rakyat.

“Rakyat Labuan sudah selesa dan bersyukur sejak Labuan diiktiraf sebagai sebuah Wilayah Persekutuan telah menikmati banyak pembangunan dan peruntukan yang disalurkan menerusi jabatan jabatan yang ada di Labuan berbanding sekiranya Labuan masih kekal di bawah kerajaan negeri Sabah yang ada dearahnya masih jauh ketinggalan dan memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk diagihkan,” katanya.

Isu penolakan sebarang cadangan untuk mengembalikan Labuan ke Sabah timbul selepas beberapa pemimpin parti politik dari Sabah membuat kenyataan mencadangkan Labuan yang mereka dakwa masih ketinggalan daripada arus pembangunan berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya perlu dikembalikan semula ke Sabah.