Dua wanita ditahan jadi keldai dadah di Tawau

TAWAU : Polis menahan dua orang wanita warga tempatan dan warga asing dipercayai keldai dadah susulan penemuan dadah jenis syabu di sebuah perumahan di sekitar bandar Tawau, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berumur 23 dan 25 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Tawau dalam menjalankan tugas pencegahan jenayah di sekitar Bandar Tawau.

Katanya, bertindak mengikut maklumat dan risikan polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bilik sewa yang dihuni oleh dua wanita.

“Pemeriksaan lanjut anggota Polis wanita terhadap sebuah beg silang milik salah seorang suspek menemui tiga paket plastik lutsinar berlainan saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 8.39 gram.

“Siasatan awal mendapati, dadah yang diperoleh dari seorang individu untuk di hantar kepada individu yang lain di sekitar daerah Tawau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, polis percaya kedua-dua suspek ini dijadikan keldai dadah untuk diserahkan kepada sindiket yang lain dengan bayaran upah dengan jumlah yang tertentu.

“Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu dan semua mereka direman tujuh hari dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau, suspek warga tempatan pernah ditahan atas kesalahan kes jenayah serta dadah dan suspek warga asing pula memiliki rekod di bawah Akta Imigrisen,” jelas Jasmin.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menjadi mangsa keldai dadah yang akan dijanjikan kemewahan dengan pelbagai taktik tipu helah sehingga akhirnya tertangkap dan merengkok dalam penjara.