Bot tunda muat kayu balak bernilai RM300,000 ditahan langgar syarat sah lesen

𝗧𝗔𝗪𝗔𝗨 : Sebuah bot tunda disyaki membawa muatan 856 batang kayu balak anggaran nilaian lebih RM300,000 ditahan selepas melanggar syarat sah lesen di sini selasa lalu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau, Kapt Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda menjalankan ‘Ops Khas Pagar Laut’ serta Ops Pluto Timur mengesan sebuah bot tunda bersama barge berisi kayu balak.

Katanya, dalam kejadian 10.40 pagi tersebut melihat sebuah bergerak dari perairan Kalabakan menuju ke perairan Tanjung Batu Logpon untuk proses pemindahan kayu tersebut.

“Pemeriksaan awal mendapati bot ditahan tersebut berada pada kedudukan 0.4 batu nautika selatan muara Sungai Logpon itu mengesan tiga lelaki.

“Dua daripada mereka merupakan warga tempatan manakala seorang krew Indonesia berumur 18 hingga 60 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, selepas pemeriksaan dokumentasi dijalankan mendapati salah seorang daripada kakitangannya tidak mempunyai daftar di dalam lesen sekali gus gagal memaklumkan pertukaran krew berkenaan.

“Bot tunda bersama muatan serta juragan bot tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau.

“Manakala bahan rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 kerana didapati melanggar syarat sah lesen,” jelas Shahrizan.