PENAMPANG: Selepas lebih seminggu kejadian banjir lumpur berlaku di sekitar Kampung Sugud, namun penduduk kampung masih berhempas pulas membersihkan kawasan rumah mereka.
Wakil penduduk Kampung Sugud, Alfred Steve Sipajan berkata, kawasan kampungnya antara yang terjejas teruk akibat banjir lumpur yang berlaku pada 16 September baru-baru ini.
Katanya, kesan lumpur akibat banjir susah dibersihkan secara individu terpaksa mencari alternatif lain termasuk menggunakan jentera ringan untuk membersihkan kawasan yang terjejas banjir lumpur.
“Kesan banjir kali ini berlaku sangat luar biasa..selain semua peralatan elektrik, elektronik serta perabot habis rosak dibuang begitu sahaja kerana tidak boleh digunakan lagi.
“Lebih teruk kesan banjir lumpur masih tebal..Ini memerlukan jentera atau tenaga yang ramai bagi membersihkan di sekitar kawasan dalam dan halaman rumah yang dipenuhi banjir lumpur,” katanya.
Alfred berkata, beliau bersama ahli keluarga terpaksa bergilir-gilir untuk membersihkan kesan banjir dalam ruang tamu rumah manakala di halaman rumah memerlukan masa lama untuk membersihkannya.
Beliau mencadangkan agar kerajaan mencari pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah banjir bagi penyelesaian dalam tempoh jangka pendek serta panjang di masa depan bagi mengelak kejadian berulang.
“Kita cadangkan agar (kerajaan) mereka dapat membersihkan kawasan anak sungai, sungai serta longkang yang berkemungkinan boleh menyumbang kepada aliran tersumbat atau banjir sebagai inisiatif jangka masa pendek.
“Memang kami akui banjir kerap kali berlaku di kampung kami, namun tidaklah begitu teruk berbanding fenomena banjir lumpur yang melanda baru-baru ini. Lebih menyedihkan peralatan sekolah anak saya juga habis rosak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Sabah, Farhan Sufyan Burhan berkata, pihaknya akan mengerakkan anggota untuk membantu penduduk kampung membersihkan kawasan rumah yang terjejas akibat banjir lumpur baru-baru ini.
Katanya, situasi ini memang sukar dijangka menyebabkan pihaknya akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan keselamatan penduduk menjadi faktor utama apabila ancaman ini melanda.
Katanya, aset termasuk helikopter juga digunakan bagi mempercepatkan proses menyelamat untuk kawasan yang teruk dinaiki air bagi memastikan bomba memperoleh maklumat tepat di lokasi yang dilaporkan.
“Untuk memastikan perkara ini dapat dilaksakan, Jabatan Bomba dan Penyelamat akan bersiap sedia dalam apa jua keadaan sekalipun terutama dalam cuaca yang tidak menentu pada masa ini,” katanya.