Kes Ebit Lew: Jangan buat sebarang provokasi, spekulasi

KUALA LUMPUR: Biar undang-undang dilaksanakan dengan seadilnya, itu ingatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan kepada orang ramai berhubung kes melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Abd Jalil berkata, sebarang provokasi mahupun spekulasi akan mengganggu prosiding di mahkamah.

“Saya nasihatkan orang ramai jangan membuat sebarang provokasi atau spekulasi berhubung pendakwaan kes itu bagi mengelak prosiding di mahkamah terganggu.

“Kita serahkan kepada pihak mahkamah untuk tentukan kes ini, biar undang-undang dilaksanakan dengan seadil-adilnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Abd Jalil berkata, siasatan yang dijalankan merangkumi pelbagai sudut termasuk kemungkinan berunsur fitnah.

“Kita membuat siasatan daripada pelbagai sudut selain daripada di bawah seksyen tersebut, kita juga melihat sama ada terdapat unsur fitnah atau tidak.

“Tetapi di akhir siasatan kita setelah dikumpulkan bukti yang nyata, inilah hasilnya tindakan-tindakan yang dibuat pada hari ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, hasil siasatan dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata, pendakwaan terhadap pendakwah bebas itu diteruskan.