Kes denggi di Sabah meningkat 101.9 peratus setakat 2 Julai

KOTA KINABALU: Kes denggi di Sabah meningkat dengan 1,791 kes direkodkan setakat 2 Julai lepas berbanding 887 kes untuk tempoh sama pada 2021, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 101.9 peratus, justeru Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang mengambil langkah segera untuk mengatasi situasi tersebut.

“Langkah proaktif menangani kes denggi ini sedang giat dilaksanakan antaranya pemantauan kes dan aktiviti kawalan denggi dengan menjalankan aktiviti kawalan vektor melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan untuk setiap kes tunggal atau wabak.

“JKNS melaksanakan gotong-royong ‘Mega Negeri Sabah’ pada 25 Jun 2022 dan 30 aktiviti gotong-royong kecil telah dilaksanakan di daerah-daerah negeri ini,” katanya menjawab soalan Hiew Vun Zin (Warisan-Karamunting) mengenai usaha kerajaan membanteras wabak denggi daripada terus meningkat.

Shahelmey berkata pemeriksaan premis pembiakan nyamuk aedes dan operasi penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan 192,967 premis telah diperiksa dan 567 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 kepada pemilik premis yang terdapat pembiakan nyamuk aedes.

“Sebanyak 183,654 premis telah dibuat semburan kabus dan operasi penguatkuasaan bersepadu telah dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi wabak denggi… JKNS mengambil berat tentang peningkatan kes denggi yang berlaku sejak kebelakangan ini,” katanya.

– BERNAMA