Kerjasama UMS-JPM didik penghuni penjara melalui inovasi sosial

KOTA KINABALU: Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Mesyuarat Pelarasan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Jabatan Penjara Malaysia (JPM), di sini, baru-baru ini.

Dekan PPIB, Profesor Madya Dr. Lai Yew Meng berkata, mesyuarat itu turut menyaksikan Pembentangan Pelan Strategik Program The Scholars 2023 Sekolah Integriti dan Sekolah Satelit JPM.

“Kita mengadakan pemurnian dokumen MoU serta memberi penerangan berkaitan program-program seperti The Scholars dan The Enrichment iaitu inovasi sosial yang dibangunkan kumpulan penyelidik PPIB sejak tahun 2022.

Dengan termeterainya kerjasama MoU UMS-JPM kelak, programThe Scholars akan dijalankan bagi peserta sasaran banduan muda di Sekolah Integriti dan Sekolah Satelit seluruh Malaysia pada tahun ini.

Pada masa yang sama, mesyuarat ini turut membincangkanpelaksanaan program The Enrichment bagi keperluan banduan dewasa di premis penjara seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan pada tahun 2023,” katanya pada mesyuarat yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Dekan PPIB.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Komisioner Penjara Tuan Haji Ajidin Haji Saleh; Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penolong Kanan Komisioner Penjara Teyun Thiam Ein; dan Penolong Ketua Sektor Pendidikan Bahagian Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Anuaruddin Abdul Razak.

Sementara itu, Ajidin memaklumkan seramai 500 banduan muda dan 44 guru akan menerima manfaat hasil daripada program pemindahan ilmu tersebut yang dijangka bermula pada April 2023.

“Pihak JPM amat berbesar hati dengan kerjasama ini bagi menyokong pengukuhan program rehabilitasi penghuni penjara untuk kembali berintegrasi dalam komuniti selepas bebas nanti,” katanya.