Kerjasama PBS-GRS Penting Teruskan Momentum Kejayaan – Joachim

KIULU: Kerjasama berterusan di kalangan ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting dalam meneruskan momentum kejayaan yang dinikmati sehingga kini.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, beliau menyeru semua ahli-ahli parti untuk terus memperkukuhkan kerjasama sesama mereka di semua peringkat dan juga dengan rakan-rakan daripada parti-parti lain dalam GRS.

“Terdapat beberapa kejayaan yang sudah dikecapi di negeri ini hasil daripada kerjasama kita dalam GRS.

“Kita memerlukan kerjasama ini diteruskan dan diperkukuh di semua peringkat, sama ada di kalangan kepimpinan parti mahupun cawangan-cawangan…tanpa kerjasama yang kukuh, kita tidak akan menang,” katanya.

Dr. Joachim yang juga Ketua Bahagian PBS Kundasang turut bersyukur dengan kepimpinan PBS yang begitu komited untuk meneruskan perjuangan parti, terus bekerja dan menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan.

PBS kini merupakan sebuah parti tertua di Sabah yang terus aktif di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah dan juga di Labuan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa bersama dengan Ahli-ahli Majlis Tertinggi (AMT) yang lain akan membantu mana-mana program yang akan dilaksanakan dalam parti.

Dr. Joachim turut mengajak semua ahli-ahli parti untuk mendoakan supaya Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili akan terus sihat dan menerajui parti bersama dengan pemimpin yang lain.